Tuesday, September 29, 2009

Wawasan 2020

Wawasan Wawasan 2020 merupakan idea Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohammad dan mula-mula diumumkan pada 28 Februari 1991 dalam persidangan pertama Majlis Perniagaan Malaysia. Wawasan 2020 merangkumi tempoh masa 30 tahun. Matlamat terakhir Wawasan 2020 ialah untuk menjadikan Malaysia negara yang benar-benar maju dalam tiga dekad. Wawasan 2020 menitikbratkan 'pembangunan menyeluruh' dan bukan sahaja pembangunan ekonomi. Malaysia harus menjadi negara maju dari segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Menurut Datuk Seri Dr. Mahathir Mohammad, kita hendaklah mencapai kemajuan sepenuhnya dari segi perpaduan negara dan kesepaduan sosial, dari segi ekonomi, keadilan sosial, kestabilan politik, sistem pemerintahan mutu kehidupan, nilainilai sosial dan kerohanian, selain mempunyai rasa bangga kenyakinan terhadap bangsa sendiri.
Idea Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad mempunyai matlamat jangka masa panjang iaitu selama 30 tahun. Menjelang tahun 2020, Malaysia diharapkan dapat menjadi sebuah negara perindustrian. Pada tahun tersebut, Malaysia dijangka dapat menempatkan diri di kalangan negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat, Britain, Jerman dan Perancis. Sekiranya impian Dr. Mahathir ini menjadi kenyataan, maka Malaysia sudah pasti akan berubah daripada sebuah negara yang ekonominya berasaskan pertanian kepada sebuah negara industri. Ini juga bermakna Malaysia akan memasuki era baru dengan kemajuan teknologi yang canggih dan moden.
Wawasan 2020 sebenarnya bukan suatu visi dan impian seorang pemimpin. Wawasan ini menjadi harapan bagi semua rakyat Malaysia untuk menikmati kehidupan yang lebih baik. Wawasan ini bukan sahaja merangkumi aspek ekonomi, tetapi meliputi keseluruhan bidang kehidupan termasuk aspek budaya, sosial dan politik. Namun begitu untuk menjadikan wawasan ini sebagai satu kenyataan bukanlah semudah yang disangkakan. Kerjasama diperlukan daripada seluruh rakyat Malaysia dalam pelaksanaannya. Untuk menjayakan wawasan 2020, tedapat sembilan cbaraan yang perlu dihadapi sebelum hasilnya dapat dinikmati dalam tempoh 30 tahun yang akan datang.
Cabaran yang pertama adalah mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat dikongsi bersama. Bagi mengatasi cabaran ini, seluruh rakyat Malaysia harus bersatu padu. Setiap kaum perlu berganding bahu dengan melupakan persengketaan sesama mereka. Identifikasi kaum patut dihapuskan supaya seluruh rakyat dapat bersatu sebagai bangsa Malaysia. Unsur-unsur perkauman, chauvinism dan polarisasi kaum harus dibendung sebelum ia meracuni fikiran rakyat sekiranya kita hendak melihat penyatuan negara Malaysia berlaku sepenuhnya.
Melahirkan penyatuan di kalangan rakyat belum tentu dapat menjayakan Wawasan 2020. Ini kerana Malaysia memerlukan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang ada dan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah. Setiap rakyat perlu ditanamkan dalam jiwa mereka semangat keyakinan untuk menghadapi setiap cabaran yang bakal mendatang. Rakyat harus berbangga dengan pencapaian negara dan apa yang jadi milik mereka. Kebebasan amat penting untuk mencapai kemajuan dan sifat ini harus ada pada setiap rakyat supaya matlamat yang dirancang tercapai tanpa apa-apa halangan dan kongkongan.
Seterusnya, Malaysia seboleh-bolehnya dapat mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang dan sebuah masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada semua negara membangun. Ini bermakna masyarakat Malaysia perlu menjadi contoh dan teladan untuk masyarakat dunia yang lain kerana ia dapat menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia adalah progresif, dinamik dan demokratik. Sudah terlalu lama kita menjadikan masyarakat di negara-negara maju sebagai contoh dan panduan dalam meniti jambatan kejayaan. Kini telah sampai masanya untuk kita menjadi pemimpin bagi penduduk dunia.
Dalam membentuk perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, dua unsur tidak harus diabaikan iaitu moral dan etika. Penting diwujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika. Pencapaian Wawasan 2020 sangat bergantung kepada sebuah masyarakat yang mengamalkan kedua-dua nilai ini. Keruntuhan nilai ini di negara-negara kesannya telah menyebabkan kehidupan masyarakat di negara-negara maju semakin tidak bahagia. Oleh itu, kedua-dua nilai tersebut amat diperlukan sekali dan diberikan perhatian utama sebelum langkah-langkah seterusnya diambil untuk menjayakan Wawasan 2020.
Cabaran yang kelima adalah mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan idea, kebudayaan dan kepercayaan agama msing-masing, dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara. Dalam mana-mana negara, semangat cintakan negara sangat penting dalam proses pembangunan. Begitu juga dengan semangat bertolak ansur. Tanpa tolak ansur adalah sukar untuk kaum-kaum di Malaysia bersatu dan bekerjasama. Setiap kaum perlu memahami kebudayaan kaum yang lain. Apabila persefahaman dapat diwujudkan, maka perasaan bertolak ansur akan lahir dalam perhubungan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Tolak ansur tidak membawa apa-apa makna sekiranya setiap rakyat tidak mempunyai kebebasan beragama. Dari itu, kepercayaan setiap kaum wajar dihormati dan dilindungi. Dasar yang liberal daripada kerajaan terhadap kebebasan beragama sudah tentu dapt melahirkan perhubungan yang lebih intim dalam masyarakat Malaysia yang unik dan pelbagai budaya.
Malaysia juga perlu mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke depan yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa hadapan. Sesuai dengan kepesatan dan pencapaian sains teknologi, Malaysia sepatutnya mempunyai sebilangan saintis yang komited terhadap kerjayanya. Dalam konteks ini, Malaysia bukan sahaja memerlukan pekerja-pekerja yang tahu menggunakan teknologi, malah tahu mencipta teknologi baru untuk keperluan industri. Sampai bila kita perlu bergantung kepada teknologi negara maju? Sudah tiba masanya Malaysia melahirkan segolongan saintis, jurutera, juruteknik, teknokrat dan ahli industri. Insentif yang diberikan kepada golongan ini sudah pasti akan meningkatkan motivasi mereka mencipta dan mereka teknologi yang lebih maju lagi.
Sesuatu yang tidak patut dilupakan adalah mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi iaitu sistem sosial yang mengutamakan kepentingan masyarakat, kebajikan insan yang tidak hanya berkisar kepada negara atau orang perseorangaan tetapi sekeliling sistem keluarga yang kukuh. sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kemajuan dalam sesebuah negara akan menyebabkan ikatan kekeluargaan menjadi semakin longgar. Pengalaman di negara maju memberikan kita banyak bukti keruntuhan dalam sistem kekeluargaan. Untuk mengelakkan masyarakat Malaysia mengalamai nasib yang sama, cabaran ini perlu diberi perhatian oleh setiap lapisan anggota masyarakat. Oleh itu, kebajikan setiap ahli masyarakat harus diberikan tumpuan kalau hendak melihat kewujudan sebuah masyarakat yang penyayang.
Kemajuan ekonomi yang dicapai sebaik-baiknya dapat memastikan masyarakat mendapat pengagihan yang adil. Pengumpulan kekayaan negara di tangan segelintir individu diharapkaan tidak lagi berlaku demi kestabilan negara, stiap rakyat patut diberi peluang dan hk yang sama rata untuk menikmati kejayaan negara. Sering kedengaaran kritikan-kritikan dilemparkan kepada kerajaan terhadap ketidaksamarataan dalam pengagihan kekayaan negara. Isu ini dieksploitasi dan digunakan bagi membangkitkan kemarahan kaum di Malaysia. Oleh itu, aspek ini penting dititikberatkan dalam Wawasan 2020.
Cabaran terakhir adalah mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental. Setiap rakyat perlu bekerja lebih kuat lagi. Semua masalah harus dihadapi dengan semangat yang kental dan hati yang tabah. Sikap dinamik dan berani bersaing dengan bangsa yang lebih maju perlu disemai dalam jiwa setiap rakyat Malysia. Kita tidak mahu rakyat Malaysia mempunyai jiwa penakut dan lemah kerana matlamat Wawasan 2020 tidak akan tercapai sekiranya masyarakat masih mewarisi perasaan negatif ini.
Dengan demikian, sembilan cabaran ini wajib di atasi dahulu dan dijadikan sebahagian daripada kehidupaan sebelum Wawasan 2020 menjadi realiti. Tidak mustahil kita dapat mencapai taraf sebuah negara maju, tetapi yang menjadi persoalan ialah bagaimana hendak menyesuaikan diri dengan suasana yang serba maju pada tahun 2020 nanti. Wawasan 2020 akan tinggal menjadi angan-angan jikalau rakyat dan kerajaaan tidak berkerjasama. Idea Wawasan 2020 berkemungkinan menjadi 'was-was 2020' sekiranya masyarakat tidak berganjak daripada keadaan mereka sekarang ini. Rakyat harus berani menerima perubahan dan bersedia berubah untuk memasuki abad yang ke-21.

No comments:

Post a Comment