Sunday, October 4, 2009

Asas-asas Komunikasi

ASAS-ASAS KOMUNIKASI

Menurut Emil Dovifat (1968), komunikasi adalah setiap usaha mempengaruhi mental
yang sengaja dilaksanakan untuk mempengaruhi masyarakat luas secara sedar dan usaha
ini selanjutnya dapat diadakan melalui keyakinan penuh atau melalui paksaan kolektif
sehingga pihak lain akan mengetahui dan ingin melakukan apa yang disarankan. Menurut
Goldhaber (1990), komunikasi selalunya dianggap seperti darah daging dalam organisasi,
minyak yang melicinkan fungsi organisasi dan agen penyatu yang meneratkan semua
perhubungan.

Perkataan komunikasi dikatakan berasal daripada perkataan communicare, yang
membawa erti penyertaan atau pemberitahuan. Perkataan communis pula membawa erti
milik bersama atau berlaku di mana-mana. Manakala perkataan communis opinion
membawa erti pendapat umum (Gunter Kieslich, 1968). Jelasnya, perkataan komunikasi
lebih memberikan penekanan terhadap kegiatan seseorang atau kelompok yang cuba
mempengaruhi individu atau kelompok lain.
Dalam komunikasi terdapat perkataan komunikator dan komunikan. Komunikator adalah
individu atau kelompok yang berusaha mengadakan komunikasi dengan individu atau
kelompok lain. Manakala komunikan adalah individu atau kelompok yang menerima
hasil idea, maklumat, berita atau fikiran komunikator. Konsep komunikasi pula adalah
proses pertukaran simbol yang bermakna di antara seseorang dengan seseorang lain. Ia
juga melibat aktiviti pemindahan, penyampaian dan penghantaran maklumat. Biasanya
proses tersebut memerlukan media dan bertujuan untuk mencapai suatu matlamat.

Dalam komunikasi terdapat beberapa istilah seperti :
1. Penyampai - iaitu hasrat, keinginan, kehendak dan maklumat tertentu untuk
disampaikan kepada individu lain.
2. Encoding (melambangkan) – iaitu pertukaran simbol, isyarat, tulisan, lukisan dan
sebagainya.
3. Mesej – iaitu bentuk fizikal di mana si penutur memperlambangkan maklumat, suara, perkataan dalam bentuk tulisan, gerak geri.
4. Saluran – iaitu mesej disampaikan sama ada melalui tulisan atau lisan
5. Penerima - iaitu mereka yang menerima maklumat
6. Decoding (memperlambangkan kembali) – iaitu menakrifkan mesej dan seterusnya
menterjemahkannya.
7. Noise (gangguan) – iaitu mengganggu dan mengkaburkan
8. Feedback (maklumbalas) – iaitu reaksi penerima terhadap penyampai.

Sebenarnya, kebolehan berkomunikasi ini merupakan anugerah Tuhan yang amat penting
kerana manusia memiliki akal, naluri, mulut dan pancaindera untuk berkomunikasi.
Malah bayi yang baru lahir juga boleh berkomunikasi kerana dia akan menangis apabila
lapar atau sakit. Tangisan tersebut adalah satu mesej yang dihantar oleh bayi tersebut
kepada penjaganya. Boleh dikatakan semua manusia akan mempelajari kaedah
berkomunikasi secara sendiri. Pancaindera yang ada akan membantu manusia untuk
mempelajari komunikasi tersebut. Manusia akan mempelajari komunikasi melalui
pembacaan, perbincangan, pengalaman, pemerhatian, ucapan orang lain dan sebagainya.
Komunikasi mempunyai banyak peranan, di antaranya untuk memberitahu, mengajar,
menegur, menerangkan sesuatu, menghiburkan, mengubah sikap, mengubah cara berfikir,
mengkritik, mengajak kepada makruf, mencegah kemungkaran dan sebagainya.

Komunikasi juga merupakan alat perhubungan atau agen membuat keputusan yang cuba
menimbulkan kesamaan pengertian pada pihak yang menerima utusan. Ransangan
komunikasi boleh berlaku dalam bentuk penulisan, percakapan, perlakuan, bahan visual
dan fenomena alam.

Terdapat beberapa jenis komunikasi, iaitu komunikasi pemberitahuan, komunikasi
pemujukan, komunikasi pengilhaman, komunikasi ucapan, komunikasi perbincangan,
komunikasi penerangan, komunikasi iklan, komunikasi media dan lain-lain. Kedapatan
manusia yang mengadakan komunikasi untuk mendapatkan ilmu, mendapatkan jawapan,
mendapatkan maklumat, mendapatkan penjelasan, mendapatkan keyakinan, mendapatkan
kesedaran, mendapatkan keadilan, mendapatkan bantuan, mendapatkan pengaruh,
mendapatkan publisiti dan lain-lain.
Manakala aktiviti komunikasi pula, meliputi kegiatan meliputi pertuturan, pembacaan,
mendengar radio, menonton dan menulis. Kegiatan komunikasi di tempat kerja pula
adalah penulisan surat menyurat, memo, laporan, notis, pengiklanan dan sebagainya.

Selain itu, komunikasi berlaku dalam mesyuarat, perbincangan, temuduga, perbualan,
seminar, taklimat, dialog dan sebagainya. Kegunaaan komunikasi juga diamalkan sebagai
alat perhubunggan ketika menjalankan tugas seperti guru, pensyarah, wartawan, pegawai
perhubungan awam, pegawai pemasaran, pegawai penerangan, eksekutif pengiklanan dan
sebagainya. Manakala kewujudan komunikasi canggih seperti komputer, satelit, teleks,
mesin faxs dan sebagainya adalah bertujuan mempertingkatkan aktiviti komunikasi.

Terdapat beberapa bentuk komunikasi, iaitu komunikasi interpersonal, iaitu apabila dua
orang berkomunikasi sama ada secara bersemuka atau berjauhan.Komunikasi ini agak
peribadi dan dapat membawa kemesraan yang mendalam. Komunikator dapat mencurah
dan berkongsi perasaan serta pendapat masing-masing secara terbuka. Contohnya jika
berlaku perbualan dua orang sahabat, surat peribadi kepada sahabat atau kekasih,
perbualan dalam telefon dan sebagainya. Ada juga komunikasi kumpulan kecil, iaitu
komunikasi yang melibatkan lebih dua orang, tetapi sesetengah pendapat menyebutkan
tidak melebihi 25 orang dalam satu-satu masa. Contohnya debat, forum, diskusi, bengkel,
mesyuarat dan sebagainya. Selalunya melibatkan penyelesaian masalah, mendapat ilmu,
percambahan fikiran dan sebagainya. Terdapt juga komunikasi kumpulan besar, iaitu
menyerupai komunikasi kumpulan kecil, cuma bilangannya ada yang berpendapat
melebihi 25 orang dalam satu-satu masa. Peluang untuk mengeluarkan idea adalah
terhad. Ianya boleh berlakukan dalam bentuk seperti dialog, simposium, ceramah umum,
konvensyen, persidangan, rapat umum dan sebagainya.

Dalam komunikasi terdapat juga halangan atau rintangan komunikasi. Situasi berikut
berlaku apabila adanya andaian yang bertelingkahan, maklumat yang tidak mencukupi,
semantik, iaitu perkataan yang maknanya berlapis atau berbagai-bagai makna, punca
yang meragukan, saluran serta keadaan alam sekeliling yang kurang sesuai, kelekaan
memikirkan sesuatu (preoccupation), sekatan emosi, kejadian yang baru berlaku, kurang
minat, terlalu banyak prasangka buruk, sesuatu yang mengganggu fikiran (distraction),
cara penyampaian yang tidak baik dan tajuk yang terlalu kritikal. Halangan komunikasi
yang disebutkan boleh mengakibat berlakunya kegagalan berkomunikasi di antara
seseorang dengan seseorang yang lain.

Kesimpulannya, komunikasi merupakan tuntutan hidup dan setiap manusia di muka bumi
ini berkomunikasi di antara satu sama lain. Manusia menggunakan berbagai simbol dan
isyarat berbentuk kata (verbal) dan tanpa kata (nonverbal) untuk berkomunikasi. Manusia
juga menggunakan suara, gerak geri, tulisan, lukisan, bunyian dan berbagai cara lagi
untuk menyalurkan apa yang ada dalam fikiran dan hati mereka. Jika ditatapi dalam Al-
Quran banyak terdapat ayat atau perkataan yang mengambarkan aktiviti komunikasi
seperti bacalah, sampaikanlah, katakanlah, khabarkanlah, menyeru, berpesan-pesan,
memberitahu dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment